Popular Posts

Friday, June 10, 2011

alam sekitar UPM : UPM oh UPM

Universiti Putra Malaysia telah diumumkan sebagai universiti yang menduduki tempat keenam dalam penilaian UI GreenMetric World University Rankings 2010. Tambahan pula, baru-baru ini semasa program Perutusan Hari ke 100 Naib Canselor UPM, satu dasar mengenai penjagaan alam sekitar telah dilancarkan iaitu Dasar Hijau UPM. Secara umumnya memang sudah boleh dikatakan UPM sudah boleh dikategorikan sebagai kampus hijau yang lestari, namun hakikat yang sebenarnya adalah apabila dinilai dari konteks nilai dan etika warga UPM terhadap kesedaran alam sekitar agak kurang memberangsangkan. Percaya atau tidak secara realitinya UPM agak ketinggalan dengan Universiti-universiti lain dari segi pelaksanaan program-program berkaitan kesedaran alam sekitar.

 Lihat saja masalah yang jelas boleh dinilai dari segi penggunaan barangan yang tidak mesra alam seperti penggunaan polisterin dan beg plastik yang sudah menjadi kebiasaan diguna di kampus UPM. Tiada langsung perasaan malu atau rasa bersalah dalam kalangan warga UPM untuk menggunakan polisterin dan juga beg plastik walaupun mereka kebanyakkannya sudah tahu akan keburukan penggunaan barangan tersebut. Di universiti lain sudah sibuk membicarakan mengenai perkara ini, namun diUPM kita masih tidak menganggap perkara ini suatu yang penting dan masih lagi gemar ditakuk yang lama.

Lihat di USM, mereka sudah sedar lebih kurang tiga hingga empat tahun awal daripada kita. Mereka sudah melaksanakan pengharaman penggunaan polisterin diseluruh kampus mereka sejak tahun 2008 lagi. DiUPM bila lagi? Tidakkah kita patut merasa malu mengenai perkara ini, sedangkan universiti yang baru meningkat namanya pun sudah mampu untuk melaksanakan tanggungjawab yang begitu mudah kepada alam ini. Adakah kita sebagai universiti penyelidikan yang terkemuka dinegera ini tidak mampu melaksanakan pengharaman penggunaan polisterin dan beg plastik diseluruh kampus kita?

Namun, apa yang dapat dilihat sekarang kesedaran masyarakat kita terhadap alam sekitar berada pada tahap yang belum boleh dibanggakan lagi. Antara faktor-faktor kes denggi meningkat adalah kerana gaya hidup masyarakat kita yang kurang baik dengan mengabaikan kebersihan kawasan kediaman mereka. Longgokan sampah yang penuh dengan bahan-bahan yang mudah menakungkan air meningkatkan lagi tahap kes denggi di Negara kita. Tambahan pula bahan-bahan tersebut seperti plastik dan polisterin tidak boleh diuraikan dengan tempoh yang singkat tetapi mengambil masa 500 tahun untuk diuraikan.

Mengikut laporan Rancangan Malaysia Kesembilan 2006-2010, jumlah sisa pepejal yang dijana di Semenanjung Malaysia meningkat daripada 16,200 tan metrik sehari pada tahun 2001 kepada 19,100 tan metrik sehari pada 2005. Jumlah ini dianggarkan akan meningkat kepada 30,000 tan sehari pada tahun 2020. Secara puratanya, pada masa ini seorang warga Malaysia menjana sebanyak 0.8 kilogram sisa pepejal sehari.(Sumber : Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan, 2008)

Jadi, wahai warga UPM sedar la,, mari kita melangkah kehadapan untuk membuat pembaharuan demi bumi amanah Allah ini. Ingat kita ini adalah khalifah Allah dimuka bumi ini...
kalau tidak sekarang bila lagi?
kalau tidak kita siapa lagi?

"mari bersama-sama kami anak alam UPM untuk berusaha menjadikan UPM kampus hijau lestari"
sekadar perkongsian...

~anak alam~